Wednesday, August 17, 2011

Ceritera Ramadan 2011


Ramadan kembali ceria.
Saya masih lagi terkenang budaya bertukar makanan semasa di bulan Ramadan ketika di zaman kanak-kanak. Suasana pada masa tersebut sangat meriah. Mak selalu menyuruh saya menghantar makanan ke rumah jiran. Tapi kini budaya tersebut jarang diamalkan. Mungkin disebabkan oleh kehidupan yang kian sibuk sehingga jarang bertegur sapa dengan jiran-jiran. Ramadan kali ini, kami cuba menghidupkan kembali budaya tersebut yang kian dilupai. Walaupun Ramadan sudah hampir ke penghujungnya, budaya ini masih lagi dilakukan. Saya bersyukur kerana jiran saya memberikan reaksi yang positif. Setiap petang, kami akan bertukar juadah berbuka. Bukan balasan makanan yang diharapkan, tetapi perkara yang amat diharapkan ialah sikap prihatin terhadap orang lain. Sikap prihatin ini akan melahirkan rasa tanggungjawab dan rasa bertanggungjawab itu kemudiannya akan mewujudkan rasa hormat- menghormati antara satu sama lain. Saya berharap semoga amalan ini akan diteruskan untuk Ramadan berikutnya.

Merindui Ketibaan Ramadan
Aku terlalu merindui ketibaanmu,
Detik-detik terindah sering kau ciptakan,
Ketibaanmu sentiasa menginsafkanku,
Yang lalai dalam mengemudi bantera kehidupan,
Kau mengajarku supaya pantas mengejar pahala,
Kau juga menyuruhku supaya gigih berdoa,
Kerana kehadiranmu tidak akan lama,
Aku  sering berpesan tatkala kau tiba,
Kibarkan layar bahteraku selebar-lebarnya,
Supaya aku bisa mengutip rahmatNya,
Yang melimpah ruah sepanjang ketibaanmu.



No comments:

Post a Comment