Tuesday, July 26, 2011

Secawan kopi daripada guru.


Baru-baru ini saya mengisi masa lapang dengan membaca buku di perpustakaan awam. Saya tertarik dengan buku yang bertajuk Secawan Kopi daripada Guru. Buku ini berkisahkan tentang  koleksi cerpen yang bertemakan liku-liku kehidupan seorang guru. Saya tertarik dengan cerpen yang bertajuk Senyum karya Naffi Mat. Cerpen ini menceritakan tentang guru praktikal yang berhadapan dengan pelajar yang nakal dan mengadu masalah kepada pensyarahnya. Pensyarah tersebut   menasihatinya dengan berkata ‘Kalau segala masalah selama ini kita selesaikan dengan mengunakan teori, mengapa tidak kita gunakan pendekatan tasawwur kemanusiaan iaitu senyum’. Saya setuju dengan pendapat pensyarah tersebut. Senyum ialah pendekatan yang paling halus dalam menasihati seseorang. Marah hanya akan menjadikan suasana menjadi lebih tegang bukannya menyelesaikan sesuatu masalah. Saya juga tertarik dengan cerpen yang bertajuk Saya Bukan Lembu. Cerpen ini berkisahkan tentang seorang pelajar nakal yang membuli gurunya yang pertama kali bertugas sebagai guru kelas. Pelajar tersebut sengaja mencetuskan suasana tegang antara guru dan bapanya. Kesimpulannya, buku ini sesuai dibaca oleh bakal guru dalam menempuh alam perkerjaan yang mencabar ini. Buku ini juga melibatkan ramai penulis yang hebat seperti Shamsuddin Othman, Ghazali Lateh dan sebagainya. Terdapat juga kata-kata hikmah daripada pendapat tokoh sebagai motivasi jiwa kepada pembaca. Antara kata hikmah yang memberi impak kepada saya adalah daripada Scha Guitry yang berbunyi ‘kebijaksanaan kita datangnya daripada pengalaman, dan pengalaman kita datangnya daripada kebodohan kita sendiri’.